[TV PERTIWI] TECHSAMANA gesa syarikat teknologi tempatan jangan bersikap neutral demi kedaulatan negara

By techsamana

30 June 2026

Nasional

BANGI, 14 MUHARRAM – Syarikat teknologi, pemain industri pemula (startup) dan institusi penyelidikan tempatan digesa supaya tidak mengambil sikap berkecuali atau “neutral” dalam mendepani konflik geopolitik global.

Sebaliknya, mereka perlu berani menyuarakan pendirian serta menguasai rantaian nilai teknologi secara lebih mandiri demi mempertahankan kedaulatan negara.

Timbalan Pengerusi Persatuan Profesional Sains dan Teknologi Malaysia (TECHSAMANA), Muslim Abdullah Zaik berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan Malaysia mempunyai keupayaan membangunkan teknologi sendiri yang mampu memenuhi keperluan negara.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Rembau International Innovation & Design Entrepreneurship Exhibition 2.0 (RIIDEX 2.0) bertemakan From Malaysia to Gaza: Rebuilding Hope Through Islamic Values and Innovation yang berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah merangkap Pengerusi RISDA Estates Sdn. Bhd., Datuk Adnan Abu Hassan dan dianjurkan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.

Dalam forum berkenaan, Muslim berkata syarikat teknologi tidak seharusnya bersikap neutral apabila berdepan isu kemanusiaan, sambil mendakwa terdapat syarikat teknologi Barat yang secara terbuka menyediakan kemudahan teknologi bagi menyokong penindasan di Palestin.

Sebagai contoh, beliau memetik Project Nimbus yang menurutnya melibatkan Google dan Amazon membekalkan kemudahan pengkomputeran awan (cloud computing) bagi melatih kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan penjajahan di Gaza.

Justeru, beliau menggesa syarikat teknologi tempatan agar berani menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin serta komited membangunkan penyelesaian teknologi alternatif tempatan yang setanding atau lebih baik.

Beliau turut menyarankan mahasiswa dan syarikat pemula memberi tumpuan kepada pembangunan inovasi berteknologi tinggi (high-tech) dan teknologi mendalam (deep-tech) yang mempunyai fungsi dwiguna (dual-purpose).

Ini supaya boleh dipasarkan bagi kegunaan komersial dan pada masa sama bersiap sedia sebagai aset Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) menerusi pendekatan Whole of Government and Whole of Society (WOGOS).

Menurutnya, cadangan itu mengambil iktibar daripada konflik di Gaza selain selari dengan langkah kerajaan melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP).

Selain itu, beliau berkata, pembangunan teknologi perlu berteraskan tiga nilai utama, iaitu memastikan kedaulatan dan kemandirian teknologi berasaskan kandungan tempatan, membangunkan inovasi berteraskan kearifan lokal yang memanfaatkan nilai, budaya, pengalaman dan sumber tempatan, serta memberi tumpuan kepada pembangunan bakat domestik.

“Bencana kemanusiaan yang berlaku di Gaza adalah disebabkan oleh ideologi Zionisme yang memusuhi hak kemanusiaan itu sendiri.

“Oleh itu, pembangunan teknologi bagi tujuan rebuilding (bina semula) bukan semata-mata untuk mengurangkan impak hasil bencana kemanusiaan, tetapi ia perlulah mampu untuk menghapuskan sumber bencana tersebut dan mengembalikan kehormatan umat Islam,” tegas beliau.

Beliau berharap platform akademik seperti RIIDEX 2.0 terus menjadi pemacu kepada anjakan paradigma dalam kalangan anak muda sekali gus meningkatkan kapasiti Malaysia daripada sebuah negara pengguna kepada negara pengeluar yang mandiri di pentas global.

Artikel Berkaitan

Bacaan Berkaitan