Saya bersetuju bahawa keselamatan data dan kedaulatan maklumat negara mesti menjadi keutamaan. Namun, membezakan Waze dan Google Maps semata-mata berdasarkan negara pangkalan serta bidang kuasa perundangan tidak menyelesaikan persoalan sebenar.
Amerika Syarikat juga mempunyai CLOUD Act 2018, yang membolehkan pihak berkuasanya, melalui proses perundangan yang sah, mendapatkan data dalam kawalan penyedia perkhidmatan tertakluk kepada bidang kuasanya, tanpa mengira lokasi penyimpanan data.
Justeru, persoalannya bukan sekadar di negara mana sesebuah aplikasi dibangunkan atau data disimpan, tetapi siapa yang mempunyai kuasa untuk mengakses, mengawal dan menentukan bagaimana data tersebut digunakan.
Pada hemat saya, kedaulatan digital harus melangkaui persoalan pemilikan teknologi. Terasnya ialah kedaulatan membuat keputusan (decision-making sovereignty), iaitu keupayaan negara menentukan hala tuju, membuat pilihan strategik, mengawal kebergantungan dan mempertahankan kepentingan nasional tanpa terikat sepenuhnya kepada kehendak pihak luar.
Dalam konteks ini, kita perlu melihat isu Waze sebagai peluang yang lebih besar.
Pertama, kerajaan perlu memperkukuh dasar tadbir urus data dan penilaian risiko teknologi asing secara menyeluruh, bukan secara terpilih berdasarkan negara asal penyedia.
Kedua, kita mesti serius mengupayakan ekosistem pembangunan teknologi tempatan. Bukan sekadar menghasilkan aplikasi berlabel Made in Malaysia, tetapi membangunkan produk yang benar-benar berdaulat, selamat, berdaya saing dan berkualiti. Ini memerlukan pelaburan dalam bakat, R&D, infrastruktur, pembiayaan serta dasar perolehan yang menyokong inovasi tempatan.
Ketiga, rakyat sendiri mesti mempunyai kesediaan dan kemahuan nasional (national will) untuk menyokong produk tempatan. Namun, sokongan itu perlu berjalan seiring dengan tuntutan terhadap kualiti. Patriotisme boleh mendorong pengguna mencuba, tetapi hanya kualiti, kebolehpercayaan dan pengalaman pengguna yang mampu mengekalkan kepercayaan mereka.
Kita tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi asing, kemudian hanya mempersoalkan kedaulatan apabila timbul sesuatu kontroversi.
Kedaulatan bukan bermaksud menolak semua teknologi asing. Kedaulatan bermaksud kita mempunyai keupayaan, pilihan dan kebebasan untuk menentukan teknologi yang mahu digunakan, syarat penggunaannya serta masa depan digital negara sendiri.
Sudah tiba masanya kita beralih daripada sekadar membincangkan siapa yang menguasai data kita, kepada membina keupayaan supaya kita sendiri mampu menentukan nasib digital negara.
Kedaulatan digital bukan sekadar soal dari mana teknologi itu datang, tetapi sama ada sesebuah negara mempunyai keupayaan dan kebebasan untuk menentukan masa depan digitalnya sendiri.
Qamarul Nazrin bin Harun
Ketua Unit Kajian Techsamana