Techsamana Teroka Potensi Remaja Utara Bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Alor Setar

By techsamana

17 June 2026

Aktiviti

Alor Setar, 10 Jun – Dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan bakat teknologi negara, delegasi Techsamana telah mengadakan kunjungan strategik ke Kelab Remaja ISMA – KRIM Alor Setar bagi meneroka peluang kerjasama dalam memperkasa generasi muda melalui pendidikan, teknologi dan pembangunan komuniti.


Delegasi Techsamana yang diketuai oleh En. Azril Hanafi, Pengerusi Techsamana, bersama En. Muslim Abdullah Zaik, Timbalan Pengerusi Techsamana dan En. Ahnaf Ab Qais, Setiausaha Agung Techsamana, telah disambut oleh Dr. Abdullah Tahir Abdul Rahim, Yang Dipertua ISMA Alor Setar, serta En. Muhd Yazid Abdul Suhaimi, Pengarah Kelab Remaja ISMA (KRIM) Alor Setar yang diiringi oleh Saudara Wan Dharma dan Saudar Mohd Fikri Abd Rahim selaku jawatankuasa.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan santai itu menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai cabaran serta aspirasi remaja masa kini, khususnya dalam menghadapi landskap teknologi yang berkembang pesat.

Perbincangan turut menyentuh isu pembangunan modal insan, pengukuhan komuniti, serta peranan teknologi dalam membentuk masyarakat yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Selari dengan tiga teras utama Techsamana iaitu Pembangunan Bakat Tempatan, Kearifan Lokal serta Kemandirian dan Kedaulatan Teknologi. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa pembangunan teknologi perlu bermula daripada pengukuhan potensi anak tempatan. Bakat-bakat muda perlu diberikan akses kepada ilmu, kemahiran dan pengalaman yang membolehkan mereka menjadi pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna teknologi.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Techsamana turut berkongsi pelbagai inisiatif yang sedang diusahakan termasuk pembangunan komuniti teknologi di peringkat akar umbi, program pendedahan kepada teknologi termaju, serta usaha memperluaskan akses kepada bidang STEM, TVET dan teknologi digital. Pendekatan ini bertujuan melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan kepentingan kearifan lokal dalam pembangunan teknologi. Penyelesaian teknologi yang dibangunkan perlu mengambil kira realiti masyarakat setempat, budaya, nilai dan keperluan komuniti agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih menyeluruh dan lestari. Teknologi yang baik bukan sahaja canggih, tetapi juga relevan dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi pelaksanaan program berasaskan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS), robotik, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital sebagai medium untuk menarik minat remaja terhadap bidang STEM dan TVET. Kedua-dua pihak berpandangan bahawa pendedahan awal kepada teknologi berimpak tinggi mampu menyemai minat terhadap sains dan teknologi, di samping membina kemahiran praktikal yang diperlukan dalam ekonomi masa hadapan.

Menurut En. Azril Hanafi, usaha memperkasa generasi muda melalui teknologi merupakan langkah penting ke arah membina kemandirian dan kedaulatan teknologi negara. Malaysia memerlukan lebih ramai anak muda yang bukan sahaja mampu mengadaptasi teknologi global, tetapi juga berupaya membangunkan penyelesaian teknologi tempatan yang berteraskan keperluan negara serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Techsamana merakamkan penghargaan kepada KRIM Alor Setar atas kesudian menerima kunjungan ini. Semoga jalinan strategik yang terhasil menjadi titik permulaan kepada pelbagai inisiatif bersama dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan bersedia memimpin masa depan teknologi negara.

#Techsamana #PembangunanBakatTempatan #KearifanLokal #KedaulatanTeknologi #STEM #TVET #UAS #JelajahUtaraTechsamana

Artikel Berkaitan

Bacaan Berkaitan