PULAU PINANG, 9 Jun 2026 — Komuniti teknologi nasional, Techsamana, meneruskan Siri Jelajah Utara 2026 menerusi kunjungan hormat dan sesi pengenalan organisasi ke Aerospace Discovery Centre (ADC), Universiti Sains Malaysia (USM), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan jaringan strategik antara sektor komuniti teknologi dan institusi pendidikan tinggi negara.
Lawatan tersebut bertujuan meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan bakat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), inovasi teknologi serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan bagi menyokong agenda transformasi ekonomi dan teknologi negara.
Delegasi Techsamana diketuai oleh Pengerusinya, Ts. Azril Hanafi bin Abdullah Sharwani, bersama Timbalan Pengerusi, Muslim Abdullah Zaik, Setiausaha, Ts. Ahnaf Qais, dan Ahli Jawatankuasa, Mohd Haaziq Mohd Yusof & Ahmad Faisal Hamdi bin Yop.
Pihak USM pula diwakili oleh Encik Mohamad Zihad bin Mahmud, Pegawai Latihan Vokasional, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa; Dr. Aslina Anjang binti Ab Rahman, Dr. Siti Harwani binti Md. Yusoff dan Ir. Dr. Ahmad Faizul bin Hawary, masing-masing Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia.
Menurut Ts. Azril Hanafi, Techsamana melihat Aerospace Discovery Centre (ADC) USM sebagai antara institusi strategik yang mempunyai peranan penting dalam melahirkan generasi baharu bakat teknologi dan aeroangkasa negara.
“Pembangunan kedaulatan teknologi tidak hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur atau teknologi semata-mata. Ia perlu disokong oleh ekosistem bakat yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan mempunyai keupayaan untuk membangunkan teknologi strategik negara pada masa hadapan.
“Dalam konteks tersebut, Techsamana melihat ADC USM sebagai rakan orbit yang kritikal dalam merealisasikan wawasan kedaulatan teknologi Malaysia,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha memperkukuhkan hubungan antara komuniti teknologi, industri dan institusi pendidikan merupakan komponen penting dalam membangunkan ekosistem inovasi yang mampan serta mampu menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
Sesi perbincangan turut menyentuh pelbagai peluang kerjasama yang berpotensi dilaksanakan pada masa hadapan termasuk program pembangunan bakat STEM, pendedahan teknologi kepada pelajar sekolah dan universiti, aktiviti komuniti teknologi, program TVET serta inisiatif yang dapat memperkukuhkan minat generasi muda terhadap bidang aeroangkasa dan teknologi maju.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Siri Jelajah Utara Techsamana 2026 yang memberi fokus kepada pembinaan jaringan strategik bersama institusi pendidikan, industri dan organisasi berkaitan teknologi bagi menyokong aspirasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Pada ketika negara berdepan cabaran penurunan minat pelajar terhadap bidang STEM, Techsamana percaya usaha membangunkan bakat teknologi tempatan tidak lagi boleh dilihat sebagai pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik negara.
Dalam landskap persaingan teknologi global yang semakin sengit, pelaburan berterusan dalam pendidikan, inovasi dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi akan menjadi faktor penentu kepada keupayaan Malaysia untuk mencapai kemandirian dan kedaulatan teknologi pada masa hadapan.