𝗧𝘂𝗿𝗸𝗶𝘆𝗲 𝗺𝗲𝗺𝗯𝗶𝗻𝗮 𝗵𝘂𝗯𝘂𝗻𝗴𝗮𝗻 𝘂𝗻𝗶𝘃𝗲𝗿𝘀𝗶𝘁𝗶–𝗶𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝗶 𝗯𝗲𝗿𝗮𝘀𝗮𝘀𝗸𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗻𝗱𝗲𝗸𝗮𝘁𝗮𝗻 𝘁𝗲𝗸𝗻𝗼-𝗻𝗮𝘀𝗶𝗼𝗻𝗮𝗹𝗶𝘀𝗺𝗲, iaitu penyelidikan dan inovasi digerakkan bukan sekadar untuk memenuhi pasaran, tetapi bagi menyelesaikan keperluan strategik negara. Kerajaan memainkan peranan sebagai penyelaras melalui agensi seperti TÜBİTAK, manakala Technocenter di kampus menyediakan ekosistem lengkap untuk penyelidik, industri dan syarikat pemula membangunkan teknologi tempatan.
Pendekatan ini turut menyelaraskan KPI pensyarah dengan agenda negara melalui pengkomersialan penyelidikan, pemilikan paten, penubuhan startup atau spin-off serta kerjasama strategik dengan industri. Hasilnya, penyelidikan universiti tidak terhenti pada penerbitan akademik, tetapi berkembang menjadi syarikat teknologi, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan keupayaan industri nasional.
Bagi Malaysia, pengajaran utamanya ialah keperluan membina keselarasan yang lebih jelas antara universiti, industri dan kerajaan. Universiti perlu diperkasakan bukan hanya sebagai pusat kecemerlangan akademik, tetapi sebagai nadi pembangunan teknologi nasional, daya saing ekonomi dan kedaulatan negara.
𝗔𝗵𝗻𝗮𝗳 𝗔𝗯 𝗤𝗮𝗶𝘀
𝗦𝗨𝗔 𝗧𝗲𝗰𝗵𝘀𝗮𝗺𝗮𝗻𝗮