Mendepani Ancaman Cyberlibertarianism dalam Isu Network School Forest City

By techsamana

21 July 2026

Keselamatan Siber, Teknologi Maklumat

Rentetan kontroversi yang melanda Network School di Forest City, Johor baru-baru ini telah mengecilkan perbincangan awam kepada ruang lingkup yang sangat sempit. Naratif media arus perdana dan perdebatan di media sosial soalah-olah hanya melihhat isu ini dari sudut pelanggaran teknikal lesen perniagaan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri serta pemeriksaan pas lawatan sosial oleh Jabatan Imigresen.

Namun, dari sudut pandang pembangunan dasar dan masa depan ekosistem teknologi negara, isu ini jauh lebih mendasar. Isu ini tidak boleh dilihat sebagai masalah birokrasi tempatan semata-mata. Ia adalah isyarat awal kepada satu bentuk ancaman baharu terhadap Kedaulatan Teknologi dan kelangsungan undang-undang fizikal Negara Bangsa. Di sebalik topeng komuniti usahawan pemula antarabangsa ini, wujud satu manifestasi gerakan ideologi Cyberlibertarianism ekstrem dan rasa penguasaan ruang fizikal yang terkait rapat dengan agenda Tech Zionism.

Kepalsuan Utopia Anarki Digital

Untuk memahami mengapa model ini berbahaya, kita wajib meneliti akar falsafahnya. Projek Network School yang diasaskan oleh Balaji Srinivasan ini bukanlah sebuah institusi pendidikan yang diiktiraf. Ia merupakan sebuah eksperimen hidup berskala besar bagi menguji tesis bukunya. The Network State.

Falsafah utama gerakan cyberlibertarianism dan crypto-anarchist ini adalah penolakan mutlak terhadap kedaulatan institusi kerajaan tradisional. Mereka bergerak atas prinsip ‘Cloud First, Land Last’ dengan mengumpulkan komuniti digital nomad global yang taksub kepada mata wang kripto secara dalam talian, sebelum memanifestasikannya secara fizikal dengan menyewa atau membeli tanah (archipelago) bagi menuntut pengiktirafan ‘kedaulatan diplomatik baharu’ pada masa hadapan.

Mereka cuba menegakkan Pax Bitcoinica, iaitu sebuah doktrin yang meletakkan kad komputer, algoritma dan smart contracts sebagai sumber kebenaran tertinggi menggantikan undang-undang moral, budaya dan perundangan sesebuah negara berdaulat. Malah, mereka secara angkuh mencadangkan penukaran acuan waktu universal daripada era Anno Domini kepada After Satoshi.

Retorik yang dilaungkan ialah ‘kebebasan mutlak dari paksaan’. Namun, realiti empirikal mendedahkan kepalsuan sistem ini. Laporan lapangan membongkar bahawa para peserta di dalam komuniti tersebut dikenakan perintah larangan bersuara yang ketat dan diancam usir keluar jika berinteraksi dengan media luar.

Sejarah dunia digital juga telah membuktikan kegagalan struktur tadbir urus berasaskan kod ini. Kajian kes antarabangsa menunjukkan projek seumpamanya seperti CityDAO di Wyoming akhirnya lumpuh akibat kegagalan koordinasi dalaman dan pembaziran sumber. Manakala projek Prรณspera di Honduras pula mencetuskan konflik perundangan yang parah apabila undang-undang zon khas mereka dimansuhkan kerana didapati melanggar hak asasi serta ruang komuniti peribumi tempatan. Ini membuktikan bahawa tadbir urus anarki-kapitalis luar ini sentiasa gagal apabila berpijak di alam nyata.

Bahaya Tech Zionism dan Strategi Eksploitasi Rantaian Nilai

Apabila wacana awam mula mengaitkan projek ini dengan istilah Tech Zionism, ia merujuk kepada strategi kolonisasi ruang alaf baharu. Mereka tidak menggunakan kereta kebal atau peluru; mereka menggunakan penguasaan Venture Capital, teknologi Web3 dan kecerdasan buatan untuk menyusup dan mengeksploitasi kelemahan sesebuah kawasan yang sedang terdesak secara ekonomi.

Dalam kes ini, infrastruktur Forest City, sebuah mega-projek yang pernah dilabel ‘ghost town’ akibat impak krisis hartanah China dan pandemik, telah dijadikan pangkalan subversif digital mereka. Mereka membina sebuat petempatan terasing mewah dan eksklusif. Farlina Said, Pengarah Cyber and Technology Policy ISIS Malaysia, secara jelas mengesahkan bahawa bulatan inovasi komuniti asing ini terputus sepenuhnya daripada rantaian nilai domestik. Tiada sebarang impak positif terhadap pembinaan ekosistem tempatan.

Lebih parah lagi, apabila aktiviti tidak berlesen mereka disiasat oleh pihak berkuasa tempatan, pengasasnya mempamerkan watak sebenar elit kapitalis digital global dengan melancarkan Ugutan Kapital. Beliau mengumumkan pembekuan pelan pelaburan RM500 juta secara terbuka di media sosial X dengan nada angkuh seolah-olah pelaburan kripto spekulatif mereka adalah penentu maruah ekonomi Malaysia.

Mereka mendakwa mewujudkan peluang pekerjaan. Namun, realiti di media sosial membongkar bahawa rantaian ekonomi mereka tidak memanfaatkan profesional teknologi tempatan secara bermakna; anak tempatan sekadar diserap sebagai pekerja sokongan harian gred rendah di premis-premis makanan sekitar sahaja. Ini bukan pelaburan teknologi; ini adalah eksploitasi ruang fizikal berdaulat.

Menegakkan Kearifan Lokal dan Bakat Watan

Malaysia tidak memerlukan modal spekulatif asing yang datang tanpa kesetiaan kepada negara, menuntut kelonggaran undang-undang seta mengagungkan protokol digital mengatasi moraliti manusia. Dasar pembangunan teknologi masa depan negara tidak boleh dibiarkan dipandu oleh kehendak pasaran bebas yang tidak berakar.

Negara wajib menawarkan acuan pembangunan alternatif yang berpaksikan tiga teras utama:

  1. Kearifan lokal: Teknologi tidak boleh dibina di atas awan secara asing. Ia mesti berakar di bumi nyata, direka bentuk untuk menyelesaikan masalah sebenar masyarakat setempat seperti sistem utiliti awam, sekuriti makanan atau integrasi data sosial, bukannya untuk melarikan diri daripada akauntabiliti sosial demi gaya hidup ‘Blueprint Longetivity’ yang dianggap sestengah pengkaji sebagai gerakan ‘cultish’.
  2. Kedaulatan Teknologi: Negara wajib mempunyai hak penuh untuk menentukan ke mana arah haluan sumber teknologi digital negara disalurkan. Pihak berkuasa tidak boleh bertoleransi dengan taktik Regulatory Arbitrage apabila entiti asing menggunakan passport negara kedua untuk memotong sekatan hubungan diplomatik antarabangsa demi kepentingan politik tersembunyi kelompok mereka.
  3. Pemeriksaan Bakat Lokal: Kuasa hakiki kemajuan industri bukan terletak pada modal teroka spekulatif Silicon Valley, tetapi pada bakat-bakat tempatan yang dilatih secara bermakna melalui institusi pengajian tinggi dan komuniti profesional watan. Bakat inilah yang mempunyai komitmen moral untuk membina kekuatan teknologi negara, bukannya crypto bros transaksional yang bersiap sedia untuk ‘mengalihkan kapital’ ke negara lain sebaik sahaja undang-undang tempatan ditegakkan.

Tiga Desakan Dasar

Sudah tiba masanya ekosistem industri teknologi tempatan bangkit menolak hegemoni halus penjajahan digital luar ini. Etika sains dan teknologi harus tunduk di bawah payung kedaulatan moral, undang-undang dan kesejahteraan rakyat. Sebagai langkah ke hadapan, tiga desakan dasar utama dikemukakan kepada pihak kerajaan:

  1. Saringan Ketat Insentif Zon Khas: Memastikan pelepasan cukai dan kelonggaran koridor di JS-SEZ dan SFZ disaring dengan ketat dari sudut keselamatan siber dan nasional, bukan sekadar melihat angka pelaburan di atas kertas.
  2. Mandatori Integrasi Ekosistem Tempatan: Menetapkan syarat undang-undang yang mewajibkan sebarang Startup Society asing yang bertapak di Malaysia untuk melakukan jalinan tech-transfer yang tulen bersama universiti tempatan dan profesional watan, bukannya membina kubu enclave terasing.
  3. Prioriti Dana kepada Bakat Watan: Mengalihkan tumpuan dasar negara daripada mengejar pelaburan asing bersifat spekulatif kepada pembiayaan penuh terhadap inovasi domestik yang dibina oleh anak tempatan mengikut acuan nilai kebangsaan kita sendiri.

Sains dan teknologi adalah instrumen untuk memajukan tamadun berteaskan nilai kemanusiaan dan undang-undang yang adil, bukannya alat untuk membina autarki digital yang mencabik kedaulatan tanah air kita.

Sumber Rujukan

  1. The timeline behind Malaysia’s Network School controversy – Sinar Daily (2026)
  2. Network School: The Forest City commune dividing Johor – The Straits Times (2026)
  3. Network School premises breached local rules, says Onn Hafiz – Free Malaysia Times (FMT) (2026)
  4. From Heaven to the Cloud: Investigating Religious Utopian Legacies in the Digital Vision of Network States – Uppsala Universitet (2025)
  5. Forest City Malaysia 2026: The Truth Behind the ‘Ghost City’ Label – EQS News (2026)

๐—จ๐—ป๐—ถ๐˜ ๐—ž๐—ฎ๐—ท๐—ถ๐—ฎ๐—ป ๐—ฆ๐˜๐—ฟ๐—ฎ๐˜๐—ฒ๐—ด๐—ถ๐—ธ, ๐—ง๐—ฒ๐—ฐ๐—ต๐˜€๐—ฎ๐—บ๐—ฎ๐—ป๐—ฎ

Artikel Berkaitan

Bacaan Berkaitan