KUALA TERENGGANU — Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna teknologi drone kepada negara yang mampu menguasai keseluruhan ekosistem teknologi berkenaan bagi mengurangkan kebergantungan strategik kepada pihak luar.
Timbalan Pengerusi Techsamana, En. Muslim Abdullah Zaik, berkata kedaulatan teknologi drone tidak hanya bergantung kepada kemampuan menghasilkan atau membeli pesawat tanpa pemandu (UAS), sebaliknya merangkumi penguasaan teknologi teras, data dan perisian, bakat tempatan, rantaian bekalan serta keupayaan menentukan hala tuju teknologi itu sendiri.
“Memiliki drone tidak semestinya bermaksud kita memiliki kedaulatan teknologi. Kedaulatan hanya wujud apabila negara mempunyai keupayaan untuk membangunkan, menguasai, mengawal dan mengekalkan keseluruhan ekosistem tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan bertajuk Kedaulatan Teknologi Drone dalam program TI-BSAS Tech Talent 2026, anjuran bersama Terengganu Inc dan SMK Bukit Sawa.
Menurutnya, lima elemen utama yang perlu diberi perhatian ialah teknologi teras, data dan perisian, bakat tempatan, rantaian bekalan serta autonomi strategik.
Beliau turut menekankan bahawa tahap penguasaan perlu dipertingkat secara berperingkat, khususnya terhadap komponen kritikal seperti pengawal penerbangan, sistem navigasi, pautan data, sistem kuasa dan pendorongan. “Persoalannya bukan sekadar berapa banyak drone yang boleh kita miliki, tetapi sejauh mana kita mempunyai kebebasan untuk menentukan penggunaannya, membaikinya, menaik tarafnya dan membangunkan generasi seterusnya,” katanya.
Pembentangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan perspektif lebih luas mengenai teknologi drone kepada generasi muda menerusi tema Aerospace National, Technology & Talent Showcase.