CYBERJAYA: Techsamana mengadakan kunjungan hormat ke Turkish Aerospace Malaysia (TUSAŞ Malaysia) yang disambut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Shahiman Sulaiman, di sini baru-baru ini.
TUSAŞ Malaysia merupakan anak syarikat milik penuh Turkish Aerospace Industries (TAI), syarikat aeroangkasa dan pertahanan utama Türkiye yang terlibat dalam pembangunan pelbagai aset strategik termasuk pesawat pejuang, sistem tanpa pemandu (UAV) dan teknologi aeroangkasa moden.
Beroperasi di Cyberjaya, syarikat itu kini menggaji hampir 200 bakat tempatan Malaysia yang terlibat dalam pelbagai bidang berteknologi tinggi antaranya reka bentuk dan pembangunan sistem Flight Control Computer (FCC) bagi jet pejuang TAI Hürjet selain pembangunan struktur dan airframe pesawat.
FCC merupakan antara komponen paling kritikal dalam sistem penerbangan moden kerana berfungsi sebagai “otak kawalan penerbangan” bagi sistem fly-by-wire, termasuk memproses input juruterbang dan sensor untuk mengawal kestabilan penerbangan serta logik autopilot.
Malaysia kini dilihat sebagai antara negara yang memiliki keupayaan pembangunan teknologi FCC, sekali gus memperlihatkan pengiktirafan terhadap kemampuan jurutera dan bakat tempatan di peringkat antarabangsa.
Kerjasama antara Türkiye dan Malaysia dalam sektor aeroangkasa itu turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta pengukuhan ekosistem industri aeroangkasa tempatan.
Dalam lawatan sama, Techsamana turut memperkenalkan Kelab Aeronautik Bukit Sawa (Bsas Aeronautics) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, Marang, Terengganu.
Kelab berkenaan memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam bidang aeroangkasa termasuk aspek keselamatan penerbangan dan pembangunan kejuruteraan UAV secara menyeluruh.
Program itu dikendalikan oleh guru penasihat, Cikgu Badrul Hisyam Zakaria, menerusi pelaksanaan modul pendidikan aeroangkasa selama empat tahun sejak 2023 bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Inisiatif itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh pembangunan bakat tempatan dalam sektor teknologi strategik dan aeroangkasa negara.