IR4.0 tambah minat pelajar sertai TVET

KUALA LUMPUR: Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) mampu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan menjadikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama pelajar untuk menyambung pengajian.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, yakin IR4.0 akan memacu minat pelajar sekolah terhadap TVET, sekali gus meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang itu pada masa depan.

“Dulu mungkin susah (untuk tarik minat pelajar sertai TVET) kerana orang lihat TVET sebagai pilihan kedua kepada bidang akademik dan sijil.

“Tapi IR4.0 tertumpu kepada pekerjaan berasaskan kemahiran dan teknikal, bukan teori dan akademik.

“Dalam aspek ini, saya lihat IR4.0 mampu untuk memacu minat dan penyertaan dalam bidang TVET serta pendidikan berasaskan kemahiran dan teknikal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada program Meningkatkan Peluang Pekerjaan untuk Generasi Muda dalam Komanwel (I-Work) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Mohammad Naim Yaakub dan Pengarah British Council Malaysia, Sarah Deverall.

Mengulas lanjut, Sim memaklumkan, pihaknya juga sedang merangka program pensijilan jangka pendek kepada pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk mempersiapkan pelajarnya berdepan cabaran IR4.0.

“Saya sudah berbincang dengan syarikat teknologi terkemuka seperti IBM untuk mereka tawarkan kursus pensijilan jangka pendek, contohnya dalam bidang robotik atau data analitik,” katanya.

Tegasnya, Kementerian Belia dan Sukan juga mahu semua pelajar dalam bidang TVET turut dilengkapi kemahiran penting lain seperti komunikasi, pemikiran kritis dan kepemimpinan supaya mereka memiliki prospek dalam kerjaya.

“Jika tiada prospek dalam kerja, lambat-laun mereka akan putus asa dan jadi pemandu Grab dan Foodpanda.

“Ini akan membazirkan sumber yang dilaburkan ke atas pelajar itu, bayangkan setahun, dua tahun pendidikan percuma diberikan kepada mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *