KUALA TERENGGANU — Teknologi drone bukan lagi sekadar aset penerbangan atau peralatan teknologi, malah berpotensi menjadi instrumen diplomasi dan pengaruh strategik sesebuah negara.
Timbalan Pengerusi Techsamana, En. Muslim Abdullah Zaik, berkata penguasaan ekosistem drone boleh membuka ruang kepada negara untuk membina hubungan keselamatan, memperluas kerjasama industri dan meningkatkan pengaruh geopolitik.
Beliau berkata teknologi drone boleh menjadi platform kepada hubungan yang lebih luas menerusi eksport, latihan, penyelenggaraan dan pembaikan, integrasi sistem, pemindahan teknologi serta pembangunan bersama.
“Apabila sebuah negara mengeksport teknologi, yang dieksport sebenarnya bukan hanya sebuah platform. Ia boleh membuka ruang kepada latihan, sokongan operasi, penyelenggaraan, pemindahan teknologi dan hubungan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan Kedaulatan Teknologi Drone sempena TI-BSAS Tech Talent 2026, anjuran bersama Terengganu Inc dan SMK Bukit Sawa.
Beliau menggunakan konsep Drone Diplomacy bagi menerangkan bagaimana penguasaan teknologi boleh diterjemahkan kepada hubungan strategik dan kuasa tawar-menawar antara negara.
Menurutnya, ekosistem yang kukuh membolehkan negara menggunakan teknologi sebagai instrumen diplomasi, geopolitik, ekonomi dan keselamatan secara serentak.
“Teknologi yang dikuasai memberikan kuasa tawar-menawar. Teknologi yang digunakan secara strategik pula boleh meningkatkan pengaruh geopolitik,” katanya.
Pembentangan tersebut turut mengetengahkan pengalaman beberapa negara dalam membangunkan ekosistem drone masing-masing, termasuk aspek eksport, latihan, penyelenggaraan, pengeluaran bersama dan kerjasama strategik.
Techsamana berpandangan bahawa Malaysia perlu melihat industri drone bukan hanya sebagai sektor teknologi, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda lebih besar melibatkan industri, pertahanan, ekonomi dan diplomasi.