Tiga Dekad Mengejar Pasaran Digital: Adakah Negara Sedang Membina Kekuatan Nasional atau Sekadar Menjadi Pengguna Sistem Asing?

By techsamana

16 September 2026

Keselamatan Siber, Nasional, Teknologi Maklumat

Penumpuan pelaburan fizikal berskala mega bagi fasiliti pusat data di koridor perindustrian selatan dan barat Semenanjung kini diposisikan sebagai pemacu utama fasa baharu ekonomi digital Malaysia. Pengumuman nilai pelaburan asing bernilai bilion ringgit diraikan dalam kerangka dasar ekonomi sebagai pencapaian strategik yang mampu merealisasikan unjuran sektor digital melangkaui suku daripada KDNK. Namun, kebergantungan naratif kemajuan kepada metrik kuantitatif FDI ini mencerminkan pendekatan teknokratik yang menyamakan penyediaan tapak utiliti pengkomputeran fizikal dengan pembinaan keupayaan teknologi nasional yang mandiri.

Namun, jika diselidiki di sebalik angka-angka yang memukau ini, timbul satu persoalan asas: adakah kedaulatan hakiki benar-benar sedang dibina, atau sekadar mempamerkan buah yang berkilat pada dahan yang hakikatnya rapuh?

Naratif media arus perdana lazimnya memaparkan kemajuan teknologi melalui lensa kuantitatif semata-mata: jumlah modal asing yang berjaya ditarik, kapasiti megawatt pusat data yang beroperasi, dan kadar penembusan capaian internet rakyat. Kerangka pemikiran teknokratik ini sering mengelirukan antara simptom luaran dengan kuasa hakiki. Limpahan statistik ekonomi diraikan, namun persoalan asas tentang kedaulatan sumber dan penguasaan infrastruktur teras negara terlepas daripada perhatian wacana utama.

Realiti di lapangan memperlihatkan struktur penguasaan yang sangat asimetri. Bagi menampung operasi kompleks pusat data berskala hiper (hyperscale data centres), sumber hakiki watan terpaksa dikorbankan: tanah strategik, jutaan liter air bersih untuk sistem penyejukan, serta ribuan megawatt tenaga elektrik yang dijanakan terus daripada grid nasional. Segala kos infrastruktur fizikal, risiko kestabilan utiliti asas, dan implikasi jejak karbon ditanggung sepenuhnya oleh ekosistem domestik.

Sebaliknya, persoalan tentang siapa yang mengawal sumber mendedahkan hakikat pemilikan sebenar:

  • Pelayan berprestasi tinggi dan unit pemprosesan grafik canggih yang bernilai ratusan ribu ringgit seunit kekal milik syarikat transnasional.
  • Model algoritma dan seni bina asas yang memacu automasi dikawal sepenuhnya oleh firma gergasi dari luar negara.
  • Aliran data rakyat dan maklumat institusi diserap keluar tanpa tapisan kedaulatan yang ketat, sebelum diproses menjadi perkhidmatan berbayar yang dijual semula kepada pasaran tempatan.
  • Pulangan modal terbesar serta pemilikan harta intelek disalurkan kembali ke negara asal konglomerat tersebut, manakala negara sekadar menerima pulangan daripada sewa utiliti asas dan percukaian marjinal.

Pertumbuhan Digital dan Asimetri Penguasaan

Fenomena ini memperlihatkan bentuk baharu feudalisme digital: peranan negara terhad kepada pembekal tanah dan tenaga bagi jentera digital milik pihak berkepentingan global, walaupun status “tuan rumah” sentiasa dicanang. Pada masa yang sama, program literasi digital awam sering ditakrifkan secara sempit, iaitu sekadar melatih masyarakat memasukkan arahan (prompt) pada antara muka perisian asing. Modal insan dididik menjadi pengguna tegar (end-users) yang membayar langganan data berterusan kepada ekosistem yang tidak dikuasai secara berdikari.


Sekiranya kemasukan modal fizikal ini dijadikan kayu ukur kemajuan, mengapakah keupayaan
menentukan autonomi teknologi sendiri masih terbatas? Mengapakah infrastruktur kritikal dan sistem pentadbiran negara kekal terdedah kepada kebergantungan luar sekiranya berlaku sekatan bekalan atau penutupan akses berikutan percaturan geopolitik global?

Daripada Kebergantungan Semasa Kepada Akar Sejarah Pembangunan Digital

Persoalan ini menuntut penolakan terhadap bacaan literal di permukaan. Bagi memahami punca kerentanan semasa, akar sejarahnya perlu diteliti: bagaimana kekeliruan falsafah pembangunan sejak tiga dekad lalu telah meletakkan agenda teknologi negara di bawah kawalan sistem luar.


Kegagalan membina kekuatan teknologi yang mandiri pada hari ini bukanlah suatu kemalangan dasar yang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan natijah langsung daripada benih falsafah yang disemai sejak awal era 1990-an. Apabila Wawasan 2020 diisytiharkan pada tahun 1991, cita-cita meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah diperincikan melalui naratif peralihan daripada ekonomi pembuatan berintensifkan buruh kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy). Agenda ini kemudiannya dimanifestasikan secara fizikal menerusi pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Agenda Teknologi Maklumat Negara (NITA) pada tahun 1996.

Di peringkat permukaan, naratif rasmi mempamerkan MSC sebagai lonjakan berani sebuah negara pascakolonial untuk meniru model Silicon Valley di atas tanah seluas 750 kilometer persegi yang menghubungkan Putrajaya dan Cyberjaya. Namun, jika dibedah melalui lensa kuasa, inisiatif ini hakikatnya diasaskan atas cubaan mencantumkan dahan “Pokok Epal” (model tekno-korporat Barat) ke atas batang “Pokok Durian” (realiti ekonomi dan masyarakat watan). Pembangunan teknologi tidak dilihat sebagai instrumen membina kemandirian tamadun, sebaliknya ditakrifkan semata-mata sebagai umpan pelaburan langsung asing (FDI) bagi menjana pertumbuhan ekonomi kuantitatif.


Bagi memikat konglomerat teknologi gergasi dunia, pakej Bill of Guarantees diperkenalkan. Di sebalik retorik “pemindahan teknologi”, konsesi strategik yang amat besar telah diserahkan: pemilikan ekuiti asing seratus peratus, pelepasan cukai sehingga sepuluh tahun, kebebasan mutlak membawa masuk tenaga pakar luar, serta penyediaan infrastruktur telekomunikasi berkelas dunia yang dibiayai sepenuhnya oleh dana awam.

MSC dan Asas Paradigma Pembangunan Teknologi Negara

Gergasi teknologi global seperti Microsoft, Intel, IBM, dan Siemens segera menyambut tawaran ini, bukan untuk memindahkan teknologi teras atau membina ekosistem tempatan, tetapi kerana insentif fiskal dan penyediaan tapak utiliti yang murah. Cyberjaya akhirnya berkembang bukan sebagai kluster inovasi organik yang melahirkan teknologi watan, sebaliknya berfungsi sebagai pulau eksklusif bagi hab penyumberan luar berkos rendah (Shared Services and Outsourcing / SSO).


Percaturan ini memperlihatkan bagaimana struktur ekonomi dipandu agar kekal patuh kepada
pembahagian kerja antarabangsa (international division of labour): negara membangun membekalkan infrastruktur asas dan tenaga kerja operasi, manakala pemilikan harta intelek, seni bina perisian teras, serta keuntungan modal tertinggi kekal berpusat di negara-negara hegemoni. Bagi pemain politik dan pentadbiran, projek mega, MSC dijadikan bukti visual kemodenan fizikal bagi menjustifikasi legitimasi di mata rakyat, walaupun secara struktur, kedaulatan teknologi negara terus tergadai.

Kesilapan doktrin ini tidak diperbetulkan apabila negara melangkah ke era pasca-2010, sebaliknya diperluas di bawah jenama baharu. Menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) pada tahun 2010, sektor Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur (CCI) dijadikan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Inisiatif “Digital Malaysia” yang dilancarkan pada 2011 pula mendakwa beralih daripada paradigma penawaran (supply-side) kepada permintaan (demand-driven), dengan matlamat mengubah Malaysia daripada pengguna teknologi kepada pengeluar digital.

Namun, peralihan tersebut kekal terperangkap dalam kepompong pemikiran teknokratik. Kejayaan diukur menerusi peningkatan jumlah perniagaan yang beroperasi dalam talian dan sumbangan e-dagang kepada KDNK. Teknologi terus diposisikan sebagai komoditi pasaran bagi melicinkan transaksi pengguna, bukannya instrumen kawalan strategik ke atas sumber negara. Akibatnya, pasaran digital domestik yang terbuka luas itu akhirnya diserahkan bulat-bulat untuk dikuasai oleh platform oligopoli e-dagang dan gerbang pembayaran milik entiti transnasional. Sektor Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) tempatan kekal menjadi pengguna marjinal di pinggiran, terpaksa membayar komisen tinggi kepada platform luar tanpa pernah memiliki data pengguna atau platform itu sendiri.

Malah, inisiatif terkini seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Dasar 4IR Negara yang diperkenalkan pada tahun 2021 masih mengekalkan DNA genetik yang sama. Walaupun sasaran sumbangan ekonomi digital dinaikkan melebihi 25 peratus KDNK, tumpuan polisi kekal berlegar pada angka penembusan peranti, penyediaan rangkaian 5G, dan integrasi automasi komersial.

Tiga dekad garis masa ini mendedahkan corak yang konsisten: setiap kali nama dasar
diperbaharui-daripada MSC, Digital Malaysia, hinggalah ke MyDigital- struktur asasnya tidak pernah berubah. Negara terus membina ekosistem yang cemerlang dalam membelanjakan wang awam demi membina infrastruktur untuk kegunaan sistem asing, namun mandul dalam melahirkan keupayaan berdikari. Persoalan kuasa hakiki tidak pernah dijawab: siapakah pemilik teras teknologi tersebut, dan ke manakah aliran kuasa dan maklumat itu sebenarnya dihalakan?

Kesinambungan Paradigma: Daripada MSC kepada Ekonomi Digital

Keengganan merawat akar falsafah inilah yang akhirnya membuka laluan kepada fasa ketergantungan yang jauh lebih berbahaya pada hari ini: penyerahan kedaulatan data dan tenaga negara dalam perlumbaan pusat data kecerdasan buatan (AI).

Era AI dan Peralihan kepada Kebergantungan Infrastruktur Kritikal

Di bawah silau promosi pelaburan berskala mega mutakhir, lanskap fizikal negara telah diubah menjadi kilang pemprosesan data bagi entiti luar. Namun, penyerahan kedaulatan digital negara pada hari ini memasuki fasa paling kritikal apabila ia bertembung dengan gelombang AI. Naratif arus perdana mendakwa bahawa kemasukan pusat data kecerdasan buatan dan pelaburan awan (cloud infrastructure) bernilai bilion ringgit akan melonjakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital serantau. Hakikatnya, pembedahan realiti secara objektif membongkar bahawa struktur kuasa hakiki tidak pernah berpindah ke tangan watan.

Lima Dimensi Asimetric dalam Ekosistem AI

Apabila diteliti struktur penguasaan sebenar melepasi retorik kemajuan luaran, keterasingan kuasa ini termanifestasi dalam lima dimensi yang sangat asimetri:

  • Ilusi Kedaulatan Data (Data Residency vs Data Sovereignty)

Selama ini, wujud sangkaan bahawa meletakkan pelayan di dalam sempadan geografi negara secara automatik menjamin kedaulatan data. Realitinya, lokasi fizikal hanyalah ilusi. Hak milik infrastruktur, hak capaian arkitektur pelayan, dan kunci enkripsi teras dikawal oleh syarikat penyedia gergasi. Lebih parah, entiti-entiti ini tertakluk secara mutlak kepada bidang kuasa ekstrateritorial negara asal mereka (seperti US CLOUD Act), yang memberi ruang kepada kuasa perundangan luar untuk memeriksa data simpanan bila-bila masa tanpa persetujuan pihak berkuasa tempatan.

  • Asimetri Komputasi & Perkakasan Teras (The Compute Trap)

Kuasa sebenar AI terletak pada kuasa komputasi (compute power) yang dipacu oleh mikrocip pemprosesan berprestasi tinggi seperti Unit Pemprosesan Grafik. Malaysia tidak memiliki dominasi keupayaan mereka bentuk mahupun mengeluarkan cip teras ini. Berpuluh ribu cip pemprosesan tercanggih yang beroperasi di pusat data tempatan kekal sebagai hak milik korporat luar. Negara sekadar menjadi tapak penempatan fizikal, menanggung beban kemerosotan infrastruktur elektrik dan air penyejuk tanpa sebarang hak pemilikan ke atas unit pemprosesan teras tersebut.

  • Monopoli Model Asas (Foundational Models Monopoly)

Agensi kerajaan dan sektor korporat tempatan giat menyepadukan operasi harian dengan model-model generatif luar melalui sambungan antara muka pengaturcaraan aplikasi. Hakikat yang diabaikan adalah model-model ini membawa nilai, kerangka budaya, dan kecenderungan pembina asalnya. Penggunaan model luar untuk memproses dokumen dasar, data kesihatan, dan rekod awam bererti penyerahan bahan mentah watan untuk melatih kecerdasan pihak luar, sementara negara sendiri kekal jahil terhadap bagaimana algoritma tersebut menjana keputusannya (black-box algorithm).

  • Kebergantungan Bakat Operasi (Talent Colonisation)

Kejayaan pembangunan modal insan diukur sekadar pada jumlah masyarakat yang celik menggunakan perisian antara muka (end-user literacy). Hakikatnya, negara mengalami kelangkaan jurutera peringkat tinggi yang berupaya melatih (pre-train), memperhalusi (fine-tune), menyelenggara, atau membina seni bina keselamatan model secara berdikari. Apabila kepincangan sistem berlaku atau penambahbaikan keselamatan diperlukan, kebergantungan kembali terarah kepada jururunding luar.

  • Kerentanan Punat Pemutus (The Kill Switch Dilemma)

Apabila seluruh urusan perbankan, grid pengagihan utiliti, rekod kependudukan, dan pentadbiran awam disambungkan ke awan dan model AI milik entiti asing, kestabilan operasi berada dalam situasi bahaya. Sekiranya tercetus krisis geopolitik serantau atau sekatan perdagangan antarabangsa, akses API dan lesen perkhidmatan awan boleh dipotong secara mengejut. Sistem automasi dan logistik negara boleh dilumpuhkan serta-merta tanpa sebarang kerosakan fizikal.

Dinamik ini mencerminkan bagaimana gelanggang teknologi telah berubah menjadi arena tekanan geopolitik antarabangsa. Sekatan ketat yang dikenakan oleh kuasa besar berhubung pemindahan mikrocip canggih memaksa negara-negara persisian memperketat kawalan eksport demi mematuhi kehendak luar, sekali gus membuktikan bahawa perkakasan teknologi di dalam sempadan domestik tidak berada di bawah kedaulatan mutlak negara. Pada masa yang sama, entiti korporat global terus memanfaatkan sumber fizikal domestik—mengunci negara ke dalam fungsi penyedia tapak utiliti dan penyewa perisian—sementara penguasaan ke atas pengeluaran kecerdasan (production of intelligence) kekal berpusat di luar.

Daripada Kebergantungan Teknologi kepada Kedaulatan Strategik

Selagi persoalan asas mengenai siapa yang memiliki infrastruktur fizikal, siapa yang mengawal algoritma, dan undang-undang siapa yang ditaati oleh sistem tersebut gagal dijawab secara berdaulat, unjuran ekonomi digital hanyalah ilusi penyerahan diri ke dalam cengkaman kebergantungan baharu. Keadaan ini mendesak peralihan doktrin secara radikal daripada sistem sewaan kepada pembinaan model kedaulatan teknologi watani yang mandiri.


Pendedahan terhadap kerapuhan struktur sedia ada menuntut satu anjakan doktrin yang mendasar. Sekiranya selama tiga dekad teknologi diperlakukan sebagai instrumen tarikan pasaran semata-mata, masa hadapan menuntut teknologi dikembalikan kepada fungsi asalnya sebagai alat pemerkasaan sumber watan dan perisai kedaulatan tamadun. Bagi keluar daripada belenggu ini, ikhtiar rawatan tidak boleh lagi dicedok daripada acuan “pokok epal” untuk menyembuhkan penyakit “tanah durian”. Penggantian sistem pinjaman ini memerlukan pembinaan Model Kedaulatan Teknologi Watan yang berakar umbi pada penyatuan tiga nilai utama: Kedaulatan Teknologi, Kearifan Lokal, dan Bakat Tempatan.

Model Kedaulatan Teknologi Watan

Teras pertama model ini berpaut pada gagasan kedaulatan teknologi hibrid. Menuntut kedaulatan tidak bererti sesebuah negara perlu bersikap naif dengan mencuba membina kesemua komponen perkakasan, kilang litografi, dan fabrikasi cip secara terpencil dari sifar. Hakikatnya, dalam rantaian bekalan teknologi global hari ini, tiada satu pun kuasa besar yang mampu berdiri secara autarki mutlak seratus peratus. Oleh itu, kedaulatan mesti ditakrifkan melalui keupayaan strategik dalam menentukan garis pemisah yang jelas: kebergantungan mana yang boleh diterima secara taktikal, dan kebergantungan mana yang mutlak haram diserahkan kepada kawalan pihak luar.


Prinsip ini diterjemahkan melalui penubuhan infrastruktur awan berdaulat bagi sektor awam. Seluruh data terperingkat, maklumat perisikan, pangkalan data kependudukan, dan sistem arahan kritikal kerajaan diwajibkan beroperasi di atas prasarana yang dipagari secara fizikal serta kebal daripada capaian undang-undang luar. Di samping itu, kuasa kawalan dan pemilikan kunci penyulitan teras mesti kekal di tangan watan tanpa sebarang kompromi terhadap pintu belakang yang sering disusupkan oleh pembekal antarabangsa.


Kedaulatan infrastruktur ini seterusnya disuntik dengan teras kedua, iaitu meletakkan kearifan lokal sebagai asas pembentukan enjin kecerdasan buatan. Kecerdasan buatan pada hakikatnya adalah penjelmaan kepada bahan dan korpus data yang digunakan untuk melatihnya. Sekiranya sesebuah model kecerdasan dilatih secara eksklusif menggunakan pandangan semesta dan epistemologi luar, keputusan analisis serta pertimbangan dasar yang dijana oleh sistem tersebut pasti mewarisi bias berkenaan secara mutlak.


Bagi memelihara jati diri dan cara pandang watan, kebergantungan agensi strategik kepada antara muka komersial asing wajar diimbangi dengan pembangunan model asas tempatan berwajaran terbuka (open-weight foundational models). Bahan latihan model ini tidak boleh diserahkan kepada kutipan semberono di belantara internet terbuka, sebaliknya wajib dimurnikan daripada khazanah persuratan adab, wacana perundangan watan, korpus bahasa kebangsaan rasmi, serta arkib pensejarahan tempatan. Melalui kaedah ini, sistem automasi pintar bukan lagi saluran asimilasi, melainkan cerminan akal budi dan realiti masyarakat setempat.


Kecerdasan watan ini mustahil dapat dipertahankan tanpa kewujudan teras ketiga, iaitu anjakan radikal dalam takrifan bakat tempatan. Pelaburan awam yang berterusan untuk sekadar melatih jutaan rakyat menjadi pengguna aplikasi antara muka hakikatnya hanya mengekalkan status masyarakat sebagai buruh digital kepada sistem luar. Model kedaulatan watan mengalihkan tumpuan pendidikan tinggi dan penyelidikan kepada kelahiran barisan jurutera seni bina sistem teras, pakar keselamatan siber, penyelidik sains data asas, serta jurureka litar bersepadu.


Negara memerlukan barisan jurutera watan yang berupaya melatih, menyesuaikan, menyelenggara, dan membaiki sistem secara mandiri tanpa perlu menanti bantuan luar setiap kali berlaku krisis operasi. Seiring dengan matlamat ini, sebarang pelaburan pusat data gergasi yang memanfaatkan tanah dan grid tenaga negara wajar dikenakan syarat timbal balik pemindahan ilmu yang tegas: sebahagian kapasiti kuasa pengkomputeran wajib diperuntukkan kepada penyelidik tempatan, disertai penglibatan jurutera watan dalam arkitektur keselamatan operasi pelayan tersebut.


Kemuncak kepada seluruh seni bina ini adalah penyatuan teknologi dengan pemerkasaan sumber asas fizikal negara. Kuasa pengkomputeran, penderia pintar, dan automasi data tidak lagi dibazirkan untuk merancakkan aktiviti konsumerisme spekulatif di alam maya, sebaliknya dihubungkan terus dengan tiga tiang kelangsungan hidup bangsa. Teknologi dialihkan untuk memelihara keterjaminan makanan melalui pemantauan tanah sawah dan kawalan rantaian bekalan beras; memperkukuh kemandirian tenaga menerusi perlindungan grid elektrik nasional daripada ancaman sabotaj siber; serta memantapkan kedaulatan logistik dengan menguasai data pergerakan kapal dan komoditi di sepanjang Selat Melaka. Melalui tautan ini, teknologi berhenti menjadi barangan dagangan yang melalaikan, lalu menjelma sebagai instrumen kuasa nasional yang hakiki dalam mempertahankan kelangsungan watan.

Daripada Infrastruktur Digital kepada Kedaulatan Sumber

Bagi merintis jalan keluar daripada perangkap status quo dan menghalang negara daripada terjerumus ke dalam fasa keterikatan tamadun yang berpanjangan, satu siri intervensi strategik yang berani dan tegas mesti digerakkan serta-merta. Titik pemutus (decoupling point) ini bertujuan mengalihkan trajektori masa hadapan negara daripada masa hadapan yang sarat kebergantungan teknologi, menuju ke arah Masa Hadapan Hakiki (Preferred Future)—sebuah masa hadapan di mana kemandirian tamadun dan kedaulatan watani berjaya ditegakkan.

Agenda Intervensi dan Titik Pemutus Kebergantungan

Langkah pertama intervensi menuntut penstrukturan semula dasar perundangan keselamatan dan tadbir urus digital negara secara menyeluruh. Doktrin kedaulatan data tidak lagi boleh berkompromi dengan retorik pasaran bebas semata-mata. Satu ketetapan mandatori perlu dikuatkuasakan di mana seluruh sistem penyimpanan data awam, maklumat perisikan, rekod biometrik rakyat, dan pangkalan data keselamatan negara diharamkan daripada diproses, disimpan, atau dihubungkan ke mana-mana pelayan komersial yang tertakluk kepada akta ekstrateritorial luar. Pada masa yang sama, protokol audit kod sumber (mandatory source code auditability) wajar diinstitusikan ke atas sebarang perkakasan telekomunikasi dan perisian luar yang memasuki agensi teras kerajaan bagi menghapuskan ancaman pintu belakang serta risiko penutupan suis secara mengejut.


Intervensi seterusnya adalah merombak syarat timbal balik pelaburan infrastruktur fizikal yang melibatkan pusat data berskala besar. Model konsesi sepihak yang diamalkan sejak era MSC—iaitu penyerahan tanah, kuota air, dan beban grid elektrik tanpa pulangan teknologi teras—mesti dihentikan. Dasar pelaburan baharu wajib meletakkan syarat pemindahan teknologi dan pengukuhan keupayaan tempatan: mana-mana penyedia pusat data asing yang memanfaatkan sumber elektrik dan air negara diwajibkan menyerahkan kuota kapasiti pengkomputeran (compute quota) berprestasi tinggi secara percuma kepada konsortium penyelidik universiti tempatan dan pembangun model watani. Di samping itu, penyertaan jurutera tempatan dalam tadbir urus arkitektur keselamatan dan pemilikan kunci penyulitan pelayan dijadikan syarat undang-undang yang jelas.

Pada peringkat pembangunan kecerdasan tempatan, tumpuan dana inovasi dan geran penyelidikan negara mesti dialihkan daripada pembiayaan aplikasi e-dagang atau perkhidmatan konsumerisme kepada agenda pembangunan model asas tempatan (Local Foundational Models). Usaha pengumpulan dan pembersihan korpus data watan—merangkumi manuskrip persuratan, korpus bahasa Melayu baku, teks perundangan tempatan, dan khazanah sejarah watani—mesti diletakkan di bawah pengawasan sebuah badan amanah kedaulatan digital kebangsaan yang bebas daripada kepentingan komersial sempit. Model kecerdasan ini kelak bertindak sebagai enjin kognitif yang memandu pembuatan keputusan dasar awam, bebas daripada kecenderungan ideologi luar.

Kemuncak kepada anjakan ini adalah penyatuan doktrin teknologi dengan pertahanan sumber-sumber hakiki negara. Segala kemajuan automasi, sains data, dan rangkaian perhubungan mesti dijajarkan untuk mengukuhkan kedaulatan makanan—memastikan sektor pertanian, perikanan, dan rantaian bekalan terlindung daripada manipulasi pasaran antarabangsa. Kuasa pengkomputeran mesti ditugaskan untuk mengawal dan mempertahankan grid tenaga elektrik nasional serta loji-loji utiliti daripada sabotaj siber. Di peringkat serantau, keupayaan data dan automasi negara mesti diperkasakan untuk menguasai pengawasan fizikal dan digital laluan maritim Selat Melaka, menolak sebarang bentuk pengintipan data laluan perkapalan oleh kuasa luar.

Menuju Masa Hadapan Hakiki

Melalui siri tindakan intervensi ini, kitaran ketergantungan tiga dekad yang membelenggu pembangunan teknologi negara akhirnya diputuskan. Kemajuan sesebuah bangsa tidak lagi diukur berdasarkan betapa patuhnya sistem domestik kepada piawaian dan lesen sewaan pihak asing, sebaliknya dinilai pada keupayaan watan memelihara sumber hakikinya sendiri. Teknologi akhirnya kembali diletakkan pada matlamat asalnya: sebagai instrumen amanah yang memperkukuh kuasa nasional, memelihara maruah bangsa, dan membebaskan masa hadapan negara menuju kedaulatan watani yang sejati.

Qamarul Nazrin bin Harun
Ketua Unit Kajian Techsamana

Artikel Berkaitan

Bacaan Berkaitan