Hubungan antara universiti dan industri sering dianggap sebagai kunci utama dalam melahirkan inovasi serta mempercepatkan pembangunan teknologi sesebuah negara. Namun, cara hubungan ini dibentuk sebenarnya bergantung kepada falsafah pembangunan negara itu sendiri.
Satu perkara yang menarik ialah perbezaan antara Amerika Syarikat dan Türkiye.
Dua Falsafah, Dua Bentuk Ekosistem
Amerika Syarikat banyak dipengaruhi oleh falsafah tekno-globalismm, iaitu pendekatan yang meletakkan pasaran sebagai pemacu utama inovasi. Dalam ekosistem ini, pensyarah digalakkan menjadi lebih bersifat keusahawanan. Mereka aktif membina rangkaian dengan industri, mendapatkan dana penyelidikan secara terus daripada syarikat, malah menjadikan hasil penyelidikan sebagai produk yang boleh dikomersialkan di peringkat global.
Türkiye pula memilih pendekatan yang agak berbeza melalui falsafah tekno-nasionalisme. Fokus utamanya bukan sekadar menghasilkan teknologi yang berjaya di pasaran, tetapi memastikan teknologi tersebut menyokong agenda pembangunan negara.
Oleh sebab itu, budaya dalam kalangan pensyarah juga terbentuk secara berbeza. Mereka digalakkan untuk terlibat secara langsung menyelesaikan masalah industri strategik negara terlebih. Daripada pengalaman tersebut, barulah lahir syarikat pemula (startup) atau syarikat spin-off yang membangunkan teknologi tempatan.
Dalam erti kata lain, keusahawanan di Türkiye lahir daripada penyelesaian masalah negara, bukannya semata-mata mengejar peluang pasaran.
Kerajaan Sebagai Penghubung Universiti dan Industri
Antara kekuatan model Türkiye ialah peranan kerajaan sebagai “orang tengah” yang menyelaraskan kerjasama antara universiti dan industri.
Berbeza dengan model yang membenarkan universiti mendapatkan dana secara terus daripada syarikat, Türkiye memusatkan pengurusan penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui agensi nasional seperti TÜBİTAK.
Agensi ini bukan sahaja menjadi penyedia dana penyelidikan terbesar negara, malah menentukan keutamaan penyelidikan supaya selari dengan strategi pembangunan industri nasional.
Melalui pendekatan ini, pelaburan kerajaan dalam R&D menjadi lebih tersusun dan mampu memfokuskan sumber kepada sektor-sektor strategik yang ingin dibangunkan.
Technocenter: Hab Inovasi Dalam Universiti
Satu lagi komponen penting dalam model Türkiye ialah penubuhan Technocenter atau taman teknologi di dalam kampus universiti.
Technocenter bukan sekadar ruang pejabat. Ia dibangunkan sebagai hab inovasi lengkap yang menghimpunkan penyelidik, syarikat pemula, makmal, fasiliti ujian, ruang pejabat serta pelbagai bentuk sokongan pembangunan perniagaan.
Pensyarah yang ingin mengkomersialkan penyelidikan tidak perlu memikirkan kos menyewa pejabat atau membangunkan infrastruktur sendiri kerana semua kemudahan asas telah disediakan.
Keadaan ini membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi dan pengesahan produk dengan lebih pantas.
Mengawal Arah Penyelidikan Negara
Satu aspek yang cukup menarik ialah mekanisme pemberian geran penyelidikan.
Pensyarah di Türkiye secara umumnya tidak mendapatkan geran secara terus daripada syarikat swasta. Sebaliknya, industri akan berunding dengan TÜBİTAK atau Technocenter bagi mengenal pasti keperluan teknologi mereka.
Seterusnya, geran penyelidikan akan dikeluarkan berdasarkan keutamaan nasional yang telah dikenal pasti.
Melalui mekanisme ini, kerajaan dapat memastikan sebahagian besar penyelidikan universiti benar-benar menyumbang kepada pembangunan industri strategik negara, sekali gus mengelakkan pertindihan penyelidikan atau projek yang kurang memberi impak kepada agenda nasional.
KPI Pensyarah Selari Dengan Agenda Negara
Ekosistem ini turut disokong melalui sistem penilaian prestasi pensyarah.
Kenaikan pangkat bukan hanya bergantung kepada penerbitan jurnal atau pengajaran, tetapi turut mengambil kira pencapaian dalam aspek keusahawanan dan inovasi seperti:
- pengkomersialan hasil penyelidikan;
- pemfailan serta pemilikan paten;
- penubuhan syarikat startup atau spin-off;
- kerjasama strategik bersama industri; dan
- sumbangan kepada pembangunan teknologi yang menjadi keutamaan negara.
Melalui Entrepreneurial and Innovative Index, pensyarah mempunyai insentif yang jelas untuk menghasilkan teknologi yang memberi impak kepada ekonomi negara. Situasi ini mewujudkan hubungan menang-menang–pensyarah memperoleh perkembangan kerjaya, manakala negara memperkukuh keupayaan teknologi tempatan.
Hasil Yang Boleh Diukur
Türkiye mula membangunkan Technocenter sekitar tahun 2003.
Dalam tempoh kira-kira sedekad, sebuah kompleks Technocenter seluas hampir 45,000 meter persegi dengan 11 bangunan telah dibangunkan di dalam kampus universiti sebagai model awal pembangunan ekosistem inovasi.
Perkembangannya sangat pantas. Menjelang tahun 2020:
- lebih 70 Technocenter telah diwujukan di seluruh Türkiye;
- 65 daripadanya berada di kawasan universiti; dan
- ekosistem tersebut telah melahirkan sekitar 5,846 syarikat teknologi tempatan yang aktif membangunkan teknologi nasional.
Angka ini menunjukkan bahawa apabila universiti; industri dan kerajaan bergerak dalam satu ekosistem yang tersusun, penyelidikan bukan lagi berakhir sebagai penerbitan akademik semata-mata, tetapi berkembang menjadi syarikat, pekerjaan berkemahiran tinggi dan teknologi yang memperkukuh daya saing negara.
Renungan Untuk Malaysia
Pengajaran terbesar daripada model Türkiye bukanlah semata-mata membina lebih banyak pusat inovasi atau menyediakan lebih banyak geran.
Yang lebih penting ialah membina keselarasan dasar antara universiti, industri dan kerajaan supaya semua pihak bergerak menuju objektif yang sama.
Apabila penyelidikan diselaraskan dengan keperluan strategik negara, universiti menjadi pemangkin pembangunan industri, industri memperoleh penyelesaian teknologi tempatan, manakala kerajaan mendapat peluang daripada pelaburan R&D melalui peningkatan daya saing dan kedaulatan teknologi.
Mungkin inilah antara persoalan yang wajar kita renungkan bersama;
Adakah kita mahu mengekalkan universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik semata-mata, atau mentransformasikannya menjadi nadi utama yang membina ekosistem teknologi dan daya saing ekonomi negara?
𝗔𝗵𝗻𝗮𝗳 𝗔𝗯 𝗤𝗮𝗶𝘀
𝗦𝗨𝗔 𝗧𝗲𝗰𝗵𝘀𝗮𝗺𝗮𝗻𝗮