KUALA TERENGGANU — Minat generasi muda terhadap teknologi perlu diterjemahkan kepada laluan pembangunan bakat yang jelas supaya mereka dapat bergerak daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta dan penyumbang kepada industri.
Atas keperluan itu, Techsamana mengetengahkan pendekatan UAS-EDGE (UAS Ecosystem Development for Growth & Empowerment) sebagai satu kerangka pembangunan ekosistem bakat teknologi khususnya dalam bidang sistem udara tanpa pemandu (UAS).
Timbalan Pengerusi Techsamana, En. Muslim Abdullah Zaik, berkata pendekatan tersebut bertujuan merapatkan jurang antara minat pelajar, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan, industri serta pasaran.
“Minat perlu mempunyai laluan. Daripada minat, kita bawa kepada proses kejuruteraan; daripada kejuruteraan kepada ekosistem; dan akhirnya kepada produk serta pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program TI-BSAS Tech Talent 2026, anjuran bersama Terengganu Inc dan SMK Bukit Sawa dengan tema Aerospace National, Technology & Talent Showcase.
Menurutnya, pembangunan bakat tidak boleh berhenti pada pertandingan atau aktiviti kokurikulum semata-mata. Pelajar perlu diberikan peluang untuk melalui proses pembangunan teknologi yang sebenar, termasuk mengenal pasti masalah, mereka bentuk penyelesaian, membina prototaip, menjalankan ujian dan memahami keperluan industri.
Kerangka UAS-EDGE yang diketengahkan Techsamana turut menghubungkan mentor, penyelidikan dan pembangunan, kemudahan ujian, hab teknologi, inkubator serta saluran bakat sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan.
Ia juga membuka laluan kepada pembangunan produk, harta intelek, syarikat pemula, pemerolehan dan pasaran.
Menurut Techsamana, pendekatan ini penting bagi memastikan program pembangunan bakat di peringkat sekolah mempunyai kesinambungan sehingga ke institusi pengajian tinggi dan industri.
“Matlamat akhirnya bukan sekadar melahirkan pelajar yang boleh menerbangkan drone, tetapi generasi yang mampu mereka bentuk, membangunkan, mengintegrasi dan menentukan masa depan teknologi tersebut,” katanya