Sumber Tempatan Berpotensi Jadi Komponen Drone Masa Hadapan

By techsamana

18 August 2026

Aktiviti, Drone

KUALA TERENGGANU — Malaysia mempunyai sumber, kepakaran dan kapasiti industri tempatan yang berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan komponen teknologi drone, namun ia memerlukan usaha sistematik daripada penyelidikan sehingga pengeluaran.

Timbalan Pengerusi Techsamana, En. Muslim Abdullah Zaik, berkata pembangunan teknologi tempatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada proses melokalkan produk asing, sebaliknya perlu bermula dengan mengenal pasti khazanah ilmu, sumber dan keupayaan tempatan yang boleh diterjemahkan menjadi penyelesaian teknologi.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan perspektif mengenai kearifan lokal dan kedaulatan teknologi drone menerusi program TI-BSAS Tech Talent 2026.
Antara sumber yang diketengahkan termasuk gentian daun nanas, kenaf, biojisim sawit, getah asli, unsur nadir bumi, timah serta keupayaan industri elektrik dan elektronik dan industri aeroangkasa tempatan.

Menurut beliau, sumber berkenaan mempunyai potensi dalam pelbagai aplikasi, termasuk struktur dan rangka, bahan komposit, komponen elektronik, sistem pendorongan serta komponen sokongan drone.
“Bahan mentah semata-mata tidak membawa kedaulatan. Kedaulatan terhasil apabila sumber tersebut disokong oleh kejuruteraan, harta intelek dan keupayaan pengeluaran hiliran,” katanya.
Beliau berkata pendekatan tersebut selari dengan prinsip Techsamana yang menekankan kearifan lokal sebagai salah satu asas pembangunan teknologi.

Dalam konteks drone, kekuatan tempatan perlu diterjemahkan daripada sumber kepada penyelidikan, reka bentuk, prototaip, pengeluaran dan akhirnya membentuk rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
“Ilmu global boleh menjadi pemangkin, tetapi nilai strategiknya hanya tercapai apabila ia dikuasai, diperkaya dan diterjemahkan melalui kemampuan tempatan,” katanya.

Pembentangan tersebut turut menekankan kepentingan menghubungkan institusi pendidikan, penyelidik, industri dan bakat muda bagi membangunkan ekosistem teknologi yang lebih menyeluruh.

Artikel Berkaitan

Bacaan Berkaitan