KUALA TERENGGANU — Pembangunan bakat tempatan perlu menjadi keutamaan dalam usaha Malaysia membina kedaulatan teknologi drone, kata Techsamana.
Timbalan Pengerusinya, En. Muslim Abdullah Zaik, berkata teknologi yang canggih tidak akan memberikan kelebihan strategik kepada negara sekiranya Malaysia tidak mempunyai tenaga manusia yang mampu mereka bentuk, mengintegrasi, menguji, membaiki dan menaik taraf sistem tersebut.
Menurut beliau, pembangunan bakat perlu bergerak melangkaui peranan sebagai operator kepada kemahiran yang lebih tinggi seperti juruteknik, integrator, pereka bentuk dan akhirnya Design Authority yang mampu menentukan reka bentuk, piawaian serta evolusi sesuatu sistem.
“Bakat yang berdaulat ialah bakat yang bukan sekadar tahu menggunakan teknologi, tetapi mampu memahami bagaimana teknologi itu dibina, bagaimana ia berfungsi dan bagaimana ia boleh ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan strategik pada TI-BSAS Tech Talent 2026, anjuran bersama Terengganu Inc dan SMK Bukit Sawa.
Beliau berkata pembangunan bakat perlu dimulakan lebih awal dengan memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam proses kejuruteraan sebenar.
Dalam pembentangannya, beliau turut memperkenalkan pendekatan UAS-EDGE (UAS Ecosystem Development for Growth & Empowerment) yang bertujuan menghubungkan minat pelajar kepada proses kejuruteraan, ekosistem industri, penyelidikan dan pembangunan serta pasaran.
“Apabila minat disambungkan kepada kejuruteraan, kejuruteraan kepada ekosistem dan ekosistem kepada pasaran, kita bukan sekadar melahirkan pengguna teknologi. Kita membina bakat yang boleh menjadi pencipta dan penggerak industri,” katanya.
Menurut Techsamana, pembangunan bakat tempatan merupakan salah satu daripada tiga asas utama yang perlu diberi perhatian bersama kearifan lokal serta kedaulatan dan kemandirian teknologi.